Apa yang bezakan markah cemerlang daripada markah kepujian? Para pemeriksa akan memberitahu anda bahawa ia pada dasarnya merupakan sesuatu usaha berterusan dan konsisten untuk mencapai sasaran anda dalam mata pelajaran yang dinilai.
Di sebalik angka-angka penggredan skor A dan B, kewujudan skema pemarkahan, penetapan gred dan garis panduan bertujuan untuk menilai kecekapan keseluruhan anda dalam bidang pengajian yang terlibat.
Prinsip yang sama turut berlaku jika anda merupakan seorang pelajar Tingkatan Enam yang tengah bersiap sedia untuk peperiksaan Bahasa Melayu STPM. Yang membezakan peperiksaan ini daripada peperiksaan awam biasa seperti SPM adalah anda akan menduduki kertas-kertas peperiksaan yang berbeza sepanjang tiga semester. Gred akhir anda adalah jumlah nilai wajaran bagi setiap semester.
Walaupun begitu, juga penting untuk mengetahui mata pelajaran Bahasa Melayu STPM secara menyeluruh. Antara caranya adalah dengan mula mempelajari skema pemarkahan kertas Bahasa Melayu STPM untuk ketiga-tiga semester anda!
Bagaimana mengira markah akhir untuk peperiksaan Bahasa Melayu STPM semester pertama anda?
Semester 1 (910/1)
Bahagian A - Anda akan menjawab 20 soalan objektif. [20m]
Bahagian B - Anda akan menjawab soalan-soalan subjektif yang berstrukur dan berdasarkan teks yang menguji kemahiran membaca anda dari segi kritikal dan analitikal. [30m]
Bahagian C - Anda akan memilih 1 tajuk esei daripada 3 tajuk esei. [50m]
Jumlah markah: 100m (wajaran 33%)
Menentukan gabungan markah antara kertas peperiksaan dan penilaian kerja kursus anda dalam peperiksaan Bahasa Melayu STPM semester kedua
Semester 2 (910/2)
Bahagian A - Calon perlu menjawab 30 soalan aneka pilihan. [30m]
Bahagian B - Calon perlu menjawab soalan-soalan yang berstruktur dan ringkas. [30m]
Jumlah markah: 60m (wajaran 20%)
Kerja Kursus Semester 2 (910/4)
Esei berformat - Calon perlu menghantar 8 esei berformat seperti yang dinyatakan dalam tugasan yang diberi. [25m]
Jumlah markah untuk Penilaian Kerja Kursus Esei Berformat: 25m (wajaran 8%)
Mengetahui markah anda untuk peperiksaan Bahasa Melayu STPM semester ketiga
Semester 3 (910/3)
Bahagian A - Calon perlu menjawab 20 soalan objektif. [20m]
Bahagian B - Calon perlu menjawab soalan-soalan yang berstruktur dan ringkas. [45m]
Jumlah markah untuk Kertas 910/3: 65m (wajaran 22%)
Kerja Kursus Semester 3 (910/5)
Penulisan Ilmiah - Pelajar memilih satu tema daripada dua tema yang diajar sepanjang tiga semester dan menulis esei akademik (dalam 2000-2500 patah perkataan) serta membentangkan hasil penulisan tersebut.
Jumlah markah untuk kerja kursus: 50m (17% pemberat)
Sila ambil perhatian bahawa semua penilaian kerja kursus anda akan dilaksanakan semasa waktu pembelajaran biasa dan tertakluk kepada jadual peperiksaan sekolah anda.
Cara kira gred Bahasa Melayu STPM anda dengan tepat
Anda mungkin sudah mengenal pasti bahawa semua kertas Bahasa Melayu STPM mempunyai wajaran yang berbeza dalam bentuk peratusan. Inilah cara untuk mengetahui gred sebenar anda dalam mata pelajaran ini pada akhir ketiga-tiga semester.
910/1: 33%
910/2: 20%
910/3: 22%
Penilaian kursus
910/4: 8%
910/5: 17%
Dengan menjumlahkan wajaran markah, anda akan mendapatkan 100%.
Jadi, jangan lupa untuk menukar markah anda kepada nilai wajaran untuk setiap semester. Dan jangan risau jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana anda boleh menduduki kertas ulangan STPM pada semester berikutnya untuk meningkatkan gred anda. Katakanlah gred semester pertama anda adalah B dan selepas menduduki kertas ulangan, gred anda adalah A: gred yang lebih tinggi (A) akan diambil kira untuk gred akhir yang disenaraikan di dalam transkrip akademik anda.

Bagaimana kerja kursus STPM Bahasa Melayu dinilai?
Terdapat dua bahagian dalam penilaian kerja kursus Bahasa Melayu STPM yang akan anda hadapi dalam semester 2 dan 3 masing-masing.
Semasa semester 2, anda akan ditugaskan untuk menghantar 8 Esei Tidak Berformat.
a) Laporan
b) Syarahan
c) Ceramah
d) Teks Ucapan
e) Minit Mesyuarat
g) Kertas Cadangan
h) Surat Kiriman Rasmi
Ia adalah WAJIB untuk menguasai format esei yang betul dan menghantar kesemua 8 esei mengikut tarikh peperiksaan yang ditetapkan oleh sekolah anda. Jika anda menghantar kurang daripada 8 esei, markah anda akan terus direkodkan sebagai X oleh guru mata pelajaran anda.
Namun, anda perlu ambil perhatian bahawa PURATA MARKAH hanya akan diambil kira daripada 7 esei (kesemua esei kecuali surat kiriman rasmi).
Ingatlah bahawa markah kerja kursus anda akan ditukar mengikut 8% nilai wajaran dan akan dijumlahkan dengan wajaran markah lain dari semester 1 hingga semester 3.
Anda boleh mencari borang skema pemarkahan daripada manual kerja kursus di Semester 2 yang ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Untuk Penulisan Ilmiah semester ketiga, anda akan dinilai secara berasingan untuk penulisan esei (markah kumpulan) dan pembentangan kumpulan (markah individu).
Jadual di bawah menunjukkan format dan tatacara khusus semasa anda menyusun dan menulis esei. Selitkan jadual ini sebagai senarai kandungan/senarai semak semasa menghantar esei anda.
Kriteria Penilaian | Markah Keseluruhan |
---|---|
1. Tajuk Kajian | |
2. Senarai Kandungan | |
3. Penghargaan | |
4. Pengenalan | |
5. Objektif Kajian | |
6. Kepentingan Kajian | |
7. Skop Kajian | |
8. Batasan Kajian | |
9. Kaedah Kajian | |
10. Dapatan Kajian | |
11. Rumusan Kajian | |
12. Penutup | |
13. Lampiran | |
14. Bibliografi | |
15. Bahasa | |
Markah Keseluruhan |
Untuk pembentangan kumpulan, terdapat kriteria penilaian lain yang akan diteliti oleh guru mata pelajaran anda sewaktu penilaian tersebut. Ingat: setiap ahli dalam kumpulan mungkin mempunyai markah yang berbeza kerana pembentangan tersebut dinilai secara individu. Walau bagaimanapun, kerjasama yang baik dan latihan yang mencukupi sebelum pembentangan tersebut tentu akan mencipta sinergi yang kuat semasa pembentangan sebenar.
Lima kategori dalam kriteria penilaian pembentangan kumpulan adalah seperti berikut:
a) Kerelevenan
Anda akan dinilai berdasarkan cara anda memulakan pembentangan, sama ada kandungan pembentangan anda menjawab soalan, pembahagian tugasan yang sama rata antara ahli kumpulan, cara anda mengakhiri pembentangan serta pembahagian masa untuk semua ahli kumpulan.
b) Kelancaran
Anda akan dinilai berdasarkan kemampuan untuk membentangkan kerja kursus tanpa terlalu bergantung pada slaid pembentangan, bagaimana anda menunjukkan kesinambungan idea, dan sekiranya anda melakukan pembentangan yang jelas dan berkesan.
c) Keterampilan
Anda akan dinilai berdasarkan kebersihan pakaian, nilai kesopanan, tahap keyakinan, kebolehan dalam menarik perhatian dan mengekalkan perhatian penonton, serta kebolehan dalam menjawab soalan secara spontan dan tepat.
d) Kebahasaan
Anda akan dinilai berdasarkan penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan kosa kata yang berbagai-bagai, sebutan yang tepat dan jelas, penggunaan intonasi yang betul, serta bahasa badan yang sesuai.
e) Penggunaan Alat/ Bahan Bantu
Anda akan dinilai berdasarkan bagaimana anda menyediakan alat pembentangan anda, kesesuaian alat tersebut, kecekapan anda dalam menggunakan alat semasa pembentangan, teknik yang digunakan untuk memaparkan slaid pembentangan dan unsur kreativiti anda.

Apakah Cara Bersiap Sedia yang Terbaik untuk Peperiksaan Bahasa Melayu STPM Sebenar?
Kita menyedari bahawa pandemik COVID-19 telah mengubah landskap proses pengajaran dan pembelajaran yang tradisional di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Namun, dengan wujudnya Internet, terdapat pelbagai cara yang boleh anda pakaikan untuk menguasai format peperiksaan Bahasa Melayu STPM walaupun anda tidak dapat menghadiri kelas fizikal di sekolah.
Berikut merupakan beberapa strategi yang berkesan untuk menjadikan proses pembelajaran dan ulangkaji di rumah lebih efektif, terutamanya apabila anda bersiap sedia untuk kertas-kertas Bahasa Melayu STPM tanpa mengira semester pengajian:
a) Tonton saluran YouTube yang mengajar subjek tersebut
YouTube merupakan alternatif yang baik untuk mengakses pelbagai video pengajaran tentang subjek Bahasa Melayu STPM. Misalnya, Didik TV KPM, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Media Prima Berhad, telah melancarkan saluran YouTube yang merangkumi video-video pengajaran mengikut pelbagai subjek yang diajar di sekolah.
Panjang video-video tersebut kurang daripada satu jam dan kandungannya amat sistematik kerana berdasarkan sukatan pelajaran semasa. Guru-guru yang berpengalaman selalu dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan teknik untuk berjaya dalam subjek yang diajar.
Selain itu, anda juga boleh menonton video-video yang telah dimuat naik oleh guru-guru Bahasa Melayu STPM dari seluruh Malaysia. Anda boleh memilih untuk menonton video khusus yang membincangkan peraturan bahasa dan tatabahasa, penulisan esei atau penjelasan sukatan pelajaran untuk subjek tersebut.
b) Baca blog guru-guru dan bekas pelajar Bahasa Melayu STPM
Jika anda lebih suka membuat ulangkaji dengan membaca serta meneliti teks-teks bertulis dan contoh soalan, maka anda patut mempertimbangkan pembelajaran melalui blog yang ditulis oleh guru-guru Bahasa Melayu STPM. Terdapat banyak contoh soalan dan kertas-kertas tahunan bagi subjek Bahasa Melayu STPM yang boleh dimuat turun dan dibandingkan.
Anda juga boleh belajar secara lebih lanjut tentang kesilapan-kesilapan umum yang biasa dilakukan oleh pelajar STPM dari perspektif guru dan pelajar. Sesetengah pelajar mungkin akan memuat naik latihan mereka dari semester-semester yang berbeza untuk tujuan rekod atau kerja kursus: jadi, jangan segan untuk mencari sebanyak mungkin blog mengenai Bahasa Melayu STPM!
c) Sertai kelas Bahasa Melayu STPM dengan Superprof
Adakah anda rindukan komunikasi secara dua hala dan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang peribadi? Superprof adalah jawapan terbaik bagi anda yang ingin memenuhi kedua-dua hasrat ini! Pembelajaran dengan Superprof adalah selamat serta menjimatkan kos dan masa - ini sangat penting terutamanya dalam keadaan ekonomi ini!
Superprof menjalin hubungan antara pelajar dan guru yang berpengalaman tanpa mengira lokasi anda. Platform pembelajaran yang global ini menawarkan pelbagai subjek yang boleh dipelajari oleh pengguna, iaitu mana-mana subjek yang diinginkan dan ketersediaan pilihan untuk mod pembelajaran yang disukai (secara bersemuka atau atas talian).
Oh, tahukah anda? Semua profil guru di Superprof telah disahkan: maksudnya, mereka pasti layak untuk mengajar. Anda juga boleh menapis pilihan guru anda dari segi perbelanjaan, metodologi pembelajaran dan pengkhususan dalam subjek.
Sebagai contoh, jika anda tengah mencari pembelajaran yang intensif untuk penulisan esei, anda boleh meneliti butiran-butiran berkenaan dengan mudah melalui profil guru. Anda juga boleh belajar secara lebih lanjut tentang komponen esei kertas Bahasa Melayu STPM anda dari artikel ini.
Kami berharap agar ulasan ini mengenai skema keseluruhan pemarkahan untuk kertas Bahasa Melayu STPM telah membantu anda. Pengetahuan yang lebih ini akan bertindak sebagai langkah persediaan untuk berjaya dalam peperiksaan sebenar anda. Semoga berjaya!
Langkah persediaan adalah titik permulaan bagi usaha yang akan berjaya. - Joe Gibbs