Kebanyakan pelajar pra-universiti pasti sudah tahu waktu dan masa bagi pelaksanaan ujian MUET, iaitu biasanya pada bulan Mac, Julai, dan September.
Tahukah anda bahawa calon sekarang boleh menduduki ujian MUET secara lebih kerap (hampir setiap bulan) melalui MUET on Demand (MoD) yang diperkenalkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia pada tahun 2018?
Maksudnya, kita dapat melihat jumlah calon MUET yang besar pada setiap tahun.
Dengan begitu ramai calon yang menduduki ujian ini, pernahkah anda bertanya-tanya bagaimana untuk benar-benar menonjol dari khalayak ramai sambil berjaya dalam semua komponen bahasa?
Tanpa kira masa yang dirancang untuk menduduki ujian MUET, anda berada di landasan yang betul jika anda meneliti sumber pembelajaran MUET yang membantu dan menguasai teknik menjawab soalan yang betul.
Mari kita melihat beberapa cara yang efektif untuk mendapatkan skor cemerlang dalam kertas-kertas MUET anda dan meninjau langkah-langkah yang diperlukan jika ingin menduduki semula/memohon penyemakan semula keputusan ujian.
Kenal Pasti Hasil Pembelajaran & Struktur Setiap Kertas
Ciri-ciri apakah yang boleh dikenal pasti dalam setiap komponen MUET?
Mendengar
Untuk komponen mendengar, calon akan dinilai mengenai keupayaan mereka untuk mengkaji maklumat daripada pelbagai subjek, topik, budaya, dan latar belakang, serta kecekapan linguistik mereka.
Misalnya, calon harus dapat membezakan sama ada mereka sedang mendengar rakaman audio yang menunjukkan perbualan antara seorang doktor dan pesakit ataupun perbualan antara seorang guru dan pelajar berdasarkan kata-kata kunci, nada, dan struktur ayat.
Setelah mengumpulkan maklumat yang relevan daripada audio tersebut, mereka perlu menggunakan maklumat tersebut untuk menghasilkan perkataan dan ayat-ayat yang mudah dan ringkas. Dalam erti kata lain, mereka perlu pandai dalam memadankan jawapan yang betul dengan soalan-soalan yang diberikan sambil mendengar audio.
Tempoh ujian untuk komponen mendengar adalah 50 minit dan kertas ini mempunyai 5 bahagian yang meliputi 30 soalan.

Membaca
Di bawah komponen membaca, calon akan dinilai dalam kemahiran pemahaman dan luncuran.
Sebagai contoh, mereka perlu mengenal pasti kata kunci, maksud tersirat dalam teks, dan membezakan fakta daripada pendapat dalam teks yang diberikan semasa membaca soalan.
Selepas itu, mereka perlu memberikan jawapan yang paling tepat berdasarkan petikan/ teks yang diberikan, sama ada ia dalam bentuk soalan aneka pilihan atau ayat-ayat pendek.
Calon perlu menjawab 40 soalan untuk ujian ini dan diberi masa 75 minit untuk menyiapkan kertas.
Lihat tips untuk mendapat markah cemerlang dalam komponen-komponen ujian MUET ini memulakan pembelajaran anda dengan baik.
Menulis
Apabila sampai ke komponen menulis, calon dikehendaki menunjukkan tiga kemahiran utama melalui penulisan mereka:
- Perancangan makro: Memilih idea-idea yang tepa serta sesuai dengan kehendak soalan dan khalayak sasaran
 - Organisasi idea: Menyusun idea-idea yang patut diletakkan dalam format pendahuluan, isi kandungan dan kesimpulan yang sesuai dengan format esei
 - Perancangan mikro: Memastikan teks yang ditulis mempunyai kesinambungan yang jelas dalam perenggan dan antara perenggan.
 
Tempoh masa ujian yang digabungkan untuk komponen ini (Tugasan 1 dan Tugasan 2) adalah 75 minit.
Bertutur
Komponen bertutur menilai kemampuan calon untuk mengungkapkan idea mereka mengikut konteks dan peranan yang diberikan.
Kandungan pembentangan harus mencerminkan situasi dan contoh yang nyata di samping mengandungi elemen-elemen berikut:
- Kelancaran: Mampu mengendalikan situasi perbualan dengan yakin tanpa berhenti bercakap atau rasa teragak-agak. Sesi pembentangan berjalan dengan lancar.
 - Ketepatan: Mampu menggunakan sebutan yang betul, tatabahasa yang tepat dan intonasi yang sesuai.
 - Kepelbagaian: Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan menggunakan ayat-ayat yang pelbagai (pendek, panjang).
 
Bagi struktur kertas ujian komponen bertutur, calon akan memberikan pembentangan individu berdasarkan soalan/ senario untuk tugasan pertama. Untuk tugasan kedua, calon akan mengambil bahagian dalam perbincangan berkumpulan berdasarkan soalan bertulis dan setiap calon perlu membentang berdasarkan soalan yang diberikan.
Untuk tugasan pertama, calon diberi 2 minit untuk menyediakan skrip pembentangan dan 2 minit lagi untuk membentang. Untuk tugasan kedua pula, calon diberi 3 minit untuk bersedia dan 8 hingga 12 minit untuk menjalankan perbincangan.
Jangan lupa teliti kriteria penggredan terkini bagi setiap komponen MUET semasa bersedia menghadapi kertas ujian anda.
Rancang Strategi Pembelajaran Berdasarkan Band Sasaran Anda
Setelah mengkaji sukatan pelajaran dan format peperiksaan MUET 2023, kini masanya untuk mengaplikasikan pengetahuan anda ke dalam latihan praktikal.
Berdasarkan band MUET yang anda inginkan, anda harus merancang strategi pembelajaran yang berkesan untuk mewujudkan pelan ulangkaji yang menyeluruh.
Sebelum melakukan permohonan ke mana-mana program universiti, eloklah anda menyemak band MUET yang perlu anda capai terdahulu berdasarkan syarat kemasukan universiti.
Yang biasanya dicadangkan adalah untuk menduduki ujian percubaan untuk mengetahui tahap kecekapan bahasa dan band semasa, di samping menilai kekuatan dan kelemahan dalam bahasa sebelum menentukan bentuk sokongan yang diperlukan.
Jadi, pentingnya menjalani ujian percubaan yang lengkap untuk mengenal pasti kecekapan bahasa anda mengikut setiap komponen dalam MUET.
Berikutan itu, anda boleh mencari bimbingan di bawah seorang tutor peribadi untuk MUET bagi tujuan merancang strategi pembelajaran yang menyeluruh. Anda dapat memastikan bahan pembelajaran MUET yang digunakan adalah tepat dan teknik menjawab untuk setiap komponen yang betul.

Tidak pasti di mana hendak mencari tutor?
Jom layari laman web Superprof untuk mencari tutor MUET terbaik berdekatan anda atau cuba kelas dalam talian yang fleksibel!
Hanya dengan beberapa klik, anda akan dapat mencari tutor MUET yang boleh dipercayai serta sesuai dengan keperluan anda dari segi yuran kelas, metodologi pengajaran, pengalaman mengajar, kelayakan tutor, dan mod pengajaran.
Berlatih dengan Latihan Topikal Sebelum Menyiapkan Kesemua Kertas
Sama ada dengan tutor Superprof atau melalui pembelajaran kendiri, berlatih itu adalah sangat penting.
Semakin banyak anda berlatih dengan soalan-soalan topikal, semakin pandai anda mengenal pasti corak soalan dan kepelbagaian topik yang mungkin keluar dalam peperiksaan sebenar.
Lihat setiap soalan dengan teliti bersama tutor anda dan dapatkan maklum balas segera dari tutor berkenaan cara meningkatkan prestasi secara konsisten.
Anda boleh membina keyakinan diri ketika meneroka bahan pembelajaran MUET yang berbagai-bagai.
Setelah membiasakan diri dengan latihan topikal, anda boleh terus menyiapkan semua kertas model MUET. Lihatlah dulu komponen mendengar, membaca dan menulis. Kemudian, siapkan semua latihan komponen bertutur.
Ulangkaji Laporan MUET Yang Lepas dan Tinjau Gaya Menjawab Calon
Salah satu sumber pembelajaran MUET yang kritikal dan sering terlepas pandang oleh pelajar adalah laporan MUET yang dikeluarkan oleh MEC pada setiap tahun.
Dalam laporan ini, anda boleh mendapatkan jawapan yang betul untuk setiap soalan dalam komponen-komponen MUET serta menyemak komen-komen pemeriksa mengenai jawapan yang dianggap sebagai baik atau buruk.
Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama seperti calon-calon sebelum ini.
Berbanding dengan rakan anda yang sedang mengambil ujian IELTS(International English Language Training System), pengetahuan langsung tentang cara-cara pemeriksa menilai kertas-kertas MUET ini akan memberi anda keuntungan untuk mencapai band yang lebih tinggi.
Langkah-langkah Mengulang/ Memohon Semak Semula Kertas MUET Anda
Setelah mengikuti langkah-langkah persediaan untuk peperiksaan dan akhirnya menduduki peperiksaan, yang tertunggu-tunggu adalah pengumuman keputusan rasmi anda.
Nota penting: Calon-calon dari sekolah dan institusi awam akan menerima keputusan rasmi mereka dari institusi masing-masing manakala calon-calon persendirian akan menerima keputusan mereka melalui pos.
Jika anda mencapai band yang disasarkan bagi kali pertama, tahniah atas pencapaian anda yang cemerlang!
Jika belum mencapai sasaran anda, jangan risau. Ikutlah jalan penyelesaian di bawah.
Solusi #1: Menduduki Semula Ujian
Untuk mengulang kertas MUET, anda hanya perlu mengikuti proses pendaftaran yang serupa dengan pengalaman anda semasa mendaftar untuk MUET bagi kali pertama. Anda boleh memilih antara salah satu daripada tiga bulan yang ditetapkan untuk menduduki peperiksaan, ataupun memilih MUET on Demand untuk mendapatkan keputusan baharu dengan lebih cepat.
Kos untuk menduduki semula ujian MUET tetap sama (RM150) tetapi ingatlah bahawa MUET on Demand bagi calon warganegara adalah RM350. Pastikan anda menyemak lokasi ujian, tarikh ujian, dan butiran anda ketika mendaftar dalam talian.

Solusi #2: Penyemakan Semula (Rayuan)
Jika anda yakin bahawa anda layak mendapat band yang lebih tinggi untuk kertas-kertas MUET anda, anda boleh memohon penyemakan semula keputusan MUET anda dalam masa seminggu selepas keputusan rasmi diumumkan.
Untuk permohonan ini, anda perlu membayar RM70 dan pastikan anda selitkan alamat Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (sebagai penerima).
Untuk perbankan dalam talian, kos tambahan RM2.00 akan dikenakan manakala pembayaran melalui kad debit dan kad kredit dikenakan kos tambahan RM2.50.
Keseluruhan proses permohonan ini boleh dilakukan di portal Majlis Peperiksaan Malaysia dan keputusan bagi penyemakan semula ini akan diumumkan selepas 18 hari bekerja.
Jika terdapat perubahan dalam skor band setelah semakan tersebut, anda akan diberikan slip keputusan baharu.
Untuk keputusan MUET anda, ingatlah bahawa tempoh sah laku untuk keputusan anda adalah selama 5 tahun. Anda boleh meneroka kelebihan-kelebihan lain yang boleh dinikmati apabila mengambil ujian MUET di Malaysia.
Kita telah sampai ke akhir artikel ini. Anda boleh jadikan maklumat di sini sebagai satu pelan untuk menghadapi ujian MUET serta tanda prihatin bagi mereka yang ingin menduduki semula ujian atau memohon penyemakan semula keputusan MUET.
Semoga berjaya!









