Jika anda memiliki akaun media sosial sekarang, wujudnya peluang yang tinggi di mana anda akan membeli produk atau perkhidmatan selepas melihat sebuah post atau video pendek… termasuklah kami di Superprof (ehem).
Pernahkah anda bertanya-tanya mengapa kita cenderung kepada perlakuan tersebut?
Seseorang itu mungkin berhujah bahawa iklan tersebut penuh dengan strategi pujukan yang hebat serta selaras dengan masalah yang kita tengah hadapi dengan tepat. Tetapi lebih daripada itu, kita pasti tertarik dengan janji rasa keseronokan yang boleh dinikmati setelah membeli barang atau perkhidmatan itu. Produk tersebut mungkin dapat membantu kita merasa lebih lega, kelihatan lebih cantik, atau hidup dengan lebih selesa.
Sebenarnya, ini bukanlah teka-teki untuk menguji minda, tetapi sekadar gambaran faedah-faedah yang dapat anda peroleh. Itulah yang membawa kita ke fasa seterusnya.
Jika anda berada di persilangan jalan dan tengah memutuskan sama ada anda patut mendaftar untuk Ujian MUET (Malaysian University English Test), anda telah singgah di tempat yang betul.
Dalam artikel ini, kita akan meneliti kepentingan mengambil ujian ini dan meneroka lima kelebihan utama menduduki ujian tersebut.
Kelebihan #1: Mengukur Kemahiran Bahasa Inggeris Secara Komprehensif
Mari lihat kelebihan pertama mengambil MUET.
Anda akan dinilai dalam empat komponen bahasa: mendengar, membaca, bertutur, dan menulis.
Penilaian bertulis untuk komponen Mendengar, Membaca, dan Menulis akan dijalankan dalam masa satu hari manakala ujian untuk komponen Bertutur akan dijalankan secara berasingan.
Menurut skema pemarkahan MUET yang terkini, anda akan dinilai mengikut sembilan band:
- Band 1.0
- Band 2.0
- Band 2.5
- Band 3.0
- Band 3.5
- Band 4.0
- Band 4.5
- Band 5.0
- Band 5+
Perlu diingatkan bahawa setiap komponen bahasa mempunyai 90 markah, jadi 360 markah adalah markah agregat penuh untuk MUET. Setiap komponen menilai kecekapan bahasa calon secara khusus.
Mendengar
Menilai keupayaan calon untuk mengenal pasti idea utama, membentuk kesinambungan antara frasa, membuat ramalan, mengenal pasti nada pembicara berdasarkan situasi, merangkumi keseluruhan perbualan dan lebih lagi.
Membaca
Menilai keupayaan calon untuk memahami setiap perkataan dan frasa melalui kemahiran luncuran dan imbasan yang berkesan (tahap pemahaman bahasa), menganalisis dan menilai idea utama dan idea sokongan, dan membuat kesimpulan berdasarkan teks yang diberikan.

Bertutur (Lisan)
Menilai keupayaan calon untuk menyatakan pendapat, menyokong pendapat berdasarkan fakta dan contoh, menunjukkan persetujuan dan ketidaksetujuan secara sistematik dalam tugasan bertutur individu.
Calon juga akan dinilai dalam cara mereka mempengaruhi rakan sebaya dalam perbincangan dan cara mengendalikan perbincangan (perbualan bolak-balik sehingga mencapai sesuatu kesimpulan) untuk tugasan bertutur kumpulan.
Menulis
Menilai keupayaan calon untuk membuat analisis tepat tentang bahan bukan linear (graf, gambar rajah, carta pai, dll), merancang esei, perkembangan idea, dan tatabahasa keseluruhan untuk tugasan menulis pertama.
Tugasan menulis kedua pula menilai keupayaan calon untuk mewujudkan struktur penulisan yang sistematik dan pemahaman yang jelas tentang format esei.
Setelah anda menguasai tips mendapatkan markah cemerlang dalam setiap komponen MUET, anda pasti lebih yakin untuk menghadapi ujian ini.
Kelebihan #2: Diiktiraf dan Diterima Bagi Kemasukan ke Universiti Awam
Kelebihan seterusnya apabila anda mengambil MUET ialah ujian ini merupakan prasyarat Bahasa Inggeris yang rasmi untuk kemasukan ke universiti awam dan kolej tempatan di Malaysia.
Itulah sebabnya tidaklah hairan bahawa kebanyakan calon MUET merupakan pelajar pra-universiti seperti pelajar Tingkatan Enam, pelajar matrikulasi atau pelajar diploma.
Memiliki sijil MUET bukan sahaja berfungsi sebagai panduan dan bukti kecekapan Bahasa Inggeris anda, tetapi ia juga disenaraikan sebagai syarat kemasukan penting untuk kebanyakan program ijazah sarjana muda.
Sebagai contoh, jika anda berminat untuk memasuki program undang-undang di Universiti Malaya, anda perlu mendapatkan sekurang-kurangnya band 4 untuk MUET anda.
Calon yang tidak mencapai band-band MUET yang ditetapkan perlu mengulang kertas peperiksaan atau mengambil kelas lebihan Bahasa Inggeris setelah mereka mendaftar untuk program universiti tersebut.
Anda mungkin ingin meneroka prospek belajar bersama tutor MUET untuk membimbing anda dalam semua kertas peperiksaan agar dapat memohon ijazah universiti yang dingini.
Manfaat 3: Ujian Kecekapan Bahasa Inggeris Yang Paling Berpatutan di Malaysia
Semasa mengumpulkan maklumat mengenai MUET, anda mungkin juga akan terserempak dengan ujian kecekapan Bahasa Inggeris lain yang boleh anda ambil di Malaysia seperti IELTS (International English Language System) dan TOEFL (Test of English as a Foreign Language).
Satu perkara penting yang perlu anda perhatikan sebelum memutuskan ujian mana yang anda ingin ambil adalah kos bagi setiap kertas ujian.
MUET
Mulai tahun 2022, jumlah yuran bagi calon warganegara adalah RM150 (termasuk yuran untuk pendaftaran dan subjek).
Manakala jumlah yuran bagi calon bukan warganegara adalah RM350 (termasuk yuran untuk pendaftaran dan subjek).
Untuk MUET on Demand (dalam talian), jumlah yuran bagi calon warganegara adalah RM350 manakala jumlah yuran bagi calon bukan warganegara adalah RM550.
Nota penting: RM1.00 akan dikenakan apabila anda membeli nombor pin Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dari Bank Simpanan Nasional. Nombor pin ini adalah penting bagi pendaftaran ujian yang lancar.
Tambahan pula, kos rayuan penyemakan semula keputusan MUET adalah RM70. Permohonan rayuan biasanya dibuka seminggu selepas keputusan rasmi diumumkan.
IELTS
Mulai Januari 2023, terdapat perubahan dalam yuran bagi calon IELTS di Malaysia.
Bagi kedua-dua kertas IELTS biasa (kertas dan komputer), yuran peperiksaan adalah RM835. Bagi kertas IELTS UKVI, yuran peperiksaan adalah RM935. Manakala yuran baharu bagi peperiksaan IELTS Life Skills adalah RM792.
Jika anda ingin memohon untuk penyemakan semula keputusan IELTS, yuran yang perlu anda bayar adalah sebanyak RM430. Walau bagaimanapun, wang yuran ini akan dikembalikan jika terdapat peningkatan markah dalam bahagian kertas ujian anda dan dalam skor band keseluruhan.

TOEFL
Kos mengambil ujian TOEFL di Malaysia adalah RM850, jadi ia merupakan ujian kecekapan Bahasa Inggeris yang paling mahal di antara tiga pilihan ini.
Berdasarkan maklumat di atas, MUET jelas merupakan pilihan yang lebih berpatutan bagi calon-calon baharu dan juga bagi mereka yang ingin mengulangi ujian atau merayu penyemakan semula keputusan mereka.
Kelebihan #4: Jambatan Kepada Perkembangan Kerjaya
Jangan tersilap fikir bahawa pendaftaran MUET hanya terhad kepada pelajar pra-universiti. Tahukah anda? Terdapat banyak individu dalam sektor kerajaan yang mengambil ujian ini untuk tujuan perkembangan kerjaya.
Jika anda kini bekerja sebagai penjawat awam dan tengah mencari motivasi untuk meningkatkan tahap kemahiran Bahasa Inggeris anda, jadikan peluang ini sebagai tanda mendaftar untuk ujian MUET.
Kami faham sepenuhnya jika anda rasa bimbang tentang langkah pertama ini, terutamanya jika anda sedang bekerja sepenuh masa. Anda sudah tahu bahawa anda tidak perlu terlalu risau tentang kos ujian. Sekarang, yang anda perlukan adalah pengalaman belajar MUET yang fleksibel!
Daripada menghadiri sesi belajar Bahasa Inggeris di pusat tuisyen, anda patut memilih tuisyen dalam talian di mana anda boleh belajar pada bila-bila masa dan dari mana sahaja yang anda ingini.
Bayangkan anda tidak perlu mengalami kesesakan lalu lintas dan dapat mengurangkan pembaziran masa. Anda boleh duduk dengan selesa di rumah anda dan membuka komputer riba untuk memulakan pelajaran MUET anda.
Tidak pasti dari mana anda patut mula?
Izinkan kami perkenalkan kepada anda Superprof, platform tutor yang menakjubkan dengan menghubungkan pelajar dan tutor dalam beberapa langkah yang mudah dan berkesan.
Mula dengan melayari laman utama Superprof Malaysia dan meneliti pelbagai profil tutor Bahasa Inggeris dalam talian.
Superprof membolehkan anda mencari tutor yang sesuai dengan keperluan pembelajaran anda dari segi:
- Kelayakan pengajar
- Tahun-tahun pengalaman
- Skop pengajaran
- Bidang kepakaran
- Metodologi pengajaran
- Yuran kelas setiap jam dan lain-lain
Semua kriteria yang disebutkan di atas boleh diakses dengan mudahnya dalam profil tutor. Maka, maklumat tersebut telah disahkan oleh Superprof dan juga bekas pelajar di bawah tutor tersebut. Dengan cara ini, anda akan mendapat sedikit sebanyak gambaran tentang pengalaman belajar MUET bersama tutor anda.
Setelah anda telah memilih tutor, anda boleh menghubungi tutor melalui profil mereka untuk membincangkan lebih lanjut tentang pengaturan waktu kelas dalam talian dan bagaimana anda boleh mencapai band yang diingini untuk ujian MUET.

Kelebihan #5: Sijil MUET Memiliki Tempoh Sah Laku yang Lebih Lama
Kini, kita telah sampai ke kelebihan #5 apabila menduduki ujian MUET.
Seperti roti yang dimakan dan snek yang disukai, setiap ujian kecekapan Bahasa Inggeris mempunyai "tarikh luputnya".
Sebagai contoh, keputusan IELTS dan TOEFL anda hanya sah selama 2 tahun dari tarikh anda selesai mengambil ujian tersebut. MUET pula mempunyai tempoh sah laku selama LIMA TAHUN.
Bukankah ini perbezaan yang besar?
Ini bermakna anda tidak perlu mengambil ujian MUET berulang kali untuk membuktikan kecekapan Bahasa Inggeris anda seperti ujian-ujian kecekapan bahasa lain.
Secara tidak langsung, sijil MUET anda dapat berfungsi sebagai bukti yang jelas tentang tahap kecekapan Bahasa Inggeris anda sebagai pelajar universiti dan juga semasa permohonan pekerjaan pada masa depan. Dalam jangka masa panjang, anda dapat menjimatkan wang yang boleh diguna pakai untuk sumber pembelajaran MUET dan kelas MUET!
Berdasarkan lima kelebihan yang disenaraikan dalam artikel ini, kami harap anda sudah akui berapa pentingnya mengambil ujian MUET. Ia pasti menjadi pelaburan yang baik untuk menilai kecekapan Bahasa Inggeris anda.









