Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dianggap sebagai salah satu program pra-universiti yang paling berbaloi dari segi penjimatan kos di Malaysia. Sejak tahun 2012, peperiksaan STPM telah diperbaharui, di mana setiap mata pelajaran kini diajar dalam masa tiga semester.
Subjek Bahasa Melayu STPM biasanya diambil oleh pelajar aliran Seni waktu Tingkatan Enam. Terus membaca untuk mendalami subjek ini dengan lebih lanjut dan belajar tentang kelebihan mengambil STPM selepas tamat pengajian sekolah menengah anda.
Bagaimana kertas Bahasa Melayu STPM anda dinilai mengikut semester?
Semasa pengajian Tingkatan Enam anda, ia adalah penting untuk mengekalkan semangat belajar dan pemahaman yang baik dalam subjek sepanjang tiga semester. Berikutan itu, pengetahuan anda tentang penilaian kertas Bahasa Melayu STPM yang berbeza mengikut semester mesti dipertingkatkan.
Anda boleh merujuk kepada panduan Bahasa Melayu STPM mengikut semester di bawah:
Semester 1: STPM Bahasa Melayu (910/1)
Dalam semester pertama anda, kertas 910/1 akan dinilai sepenuhnya oleh pemeriksa luar. Kertas tersebut merangkumi tiga bahagian, iaitu Bahagian A, Bahagian B dan Bahagian C. Markah bagi setiap bahagian akan dijumlahkan untuk menentukan keputusan akhir yang anda akan ketahui apabila keputusan rasmi semester pertama diumumkan.
Bahagian A - 20 soalan objektif [20m]
Bahagian B - 3 soalan struktur [30m]
Bahagian C - Esei [50m]
Semester 2: STPM Bahasa Melayu (910/2) dan (910/4)
Bagi semester kedua anda, kertas 910/2 hanya terdiri daripada Bahagian A dan Bahagian B. Kertas-kertas ini turut dinilai oleh pemeriksa luar.
Pada masa yang sama, anda juga akan menduduki peperiksaan bagi kertas 910/4 sewaktu semester kedua. Sebenarnya, kertas 910/4 adalah sebuah penilaian kursus dalam bentuk penulisan esei berformat.
Anda perlu menulis sebanyak 8 esei yang akan dinilai oleh guru mata pelajaran anda. Tarikh peperiksaan bagi kertas 910/4 akan ditetapkan oleh sekolah anda mengikut jadual yang diberikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia masing-masing. Pengiraan akhir keputusan semester ini berdasarkan jumlah markah daripada kertas 910/2 dan kertas 910/4 anda.
Bahagian A - 30 soalan objektif [30m]
Bahagian B - 8 soalan struktur [30m]
Penilaian kursus - 8 esei tidak berformat [25 m]
Semester 3: STPM Bahasa Melayu (910/3) dan (910/5)
Untuk semester akhir anda, kertas 910/3 hanya terdiri daripada Bahagian A dan Bahagian B yang juga dinilai oleh pemeriksa luar. Anda juga perlu menyiapkan salah satu lagi penilaian kursus lain (kertas 910/5) iaitu penulisan ilmiah.
Penulisan ilmiah ini merupakan projek berkumpulan, di mana kumpulan yang terdiri daripada empat atau lima ahli akan menulis dan membentang tentang topik yang telah dipilih. Kedua-dua tugas kerja kertas (esei) dan pembentangan akan diambil kira dalam penilaian kursus secara keseluruhan. Sama seperti semester lepas, keputusan akhir semester ketiga adalah jumlah markah daripada kertas 910/3 dan 901/5.
Untuk memahami cara mendapat markah terbaik bagi setiap semester dengan lebih lanjut, anda boleh merujuk kepada skema pemarkahan untuk ketiga-tiga semester Bahasa Melayu STPM.
Bahagian A - 20 soalan objektif [20m]
Bahagian B - 12 soalan berstruktur [45m]
Penilaian kursus - Penulisan Ilmiah [50m]

Menangani soalan objektif dan subjektif kertas Bahasa Melayu STPM
Sepanjang tiga semester anda, terdapat beberapa kata kunci dan perkataan penting yang boleh anda catat atau bulatkan semasa menjawab soalan di Bahagian A. Antara soalan lazim yang ditanya dalam bentuk soalan objektif adalah seperti berikut:
a) Mencari pernyataan yang betul atau salah (Pernyataan mana yang tidak benar)
Soalan seperti ini memerlukan anda untuk memberikan jawapan yang tepat dan ringkas.
b) Mencari pasangan yang betul
A- I, II
B- I, III
C- II, IV
D- III, IV
Soalan seperti ini memerlukan anda mengesahkan ketepatan antara dua pernyataan atau frasa. Jika salah satu pernyataan didapati salah, dua pilihan soalan boleh diabaikan dengan serta-merta. Sebagai contoh, anda pasti bahawa pernyataan IV adalah salah setelah meneliti soalan, maka jawapan akhir sudah terhad kepada A atau B.
Untuk Bahagian B, perhatikan bahawa bilangan soalan dan peruntukan markah adalah berbeza mengikut semester.
Semester 1
3 soalan subjektif berdasarkan satu teks panjang [30m]
- 2 soalan mewajibkan jawapan pendek dengan menberikan maksud frasa yang ringkas (Jelaskan maksud)
- 1 soalan menghendaki jawapan panjang untuk merangkumkan maklumat penting daripada teks (Beri ulasan dalam 150 patah perkataan)
Catatan penting:
Baca soalan sebelum membaca perenggan untuk mencari jawapan dengan serta-merta. Hati-hati supaya elakkan melebihi had patah perkataan untuk jawapan panjang.
Semester 2
8 soalan subjektif [30m]
- Berikan maksud perkataan/ kata
- Nyatakan 2 ciri/ 3 contoh/ ayat
Catatan penting:
Anda perlu mengingati definisi ringkas bagi peraturan tatabahasa Melayu yang tertentu. Selain itu, pastikan anda fasih dalam mengenal pasti perbezaan utama antara komponen tatabahasa bahasa yang berlainan.
Semester 3
12 soalan subjektif [45m]
- Baca teks pendek/ teliti gambar rajah untuk menjawab soalah
- Tulis ulasan ringkas berdasarkan teks yang tidak melebihi 60 perkataan
Catatan penting:
Pengagihan masa adalah penting untuk menjawab SEMUA 12 soalan tersebut serta soalan objektif. Menurut sukatan pelajaran, terdapat 6 komponen yang perlu anda kuasai untuk semester ketiga.
Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit: peribahasa ini patut anda pakaikan sepanjang ketiga-tiga semester. Anda boleh membuat persiapan dengan menggunakan pelbagai sumber di samping membuat latihan yang mencukupi dengan kertas soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dan latihan model Bahasa Melayu STPM.

Kelebihan mengambil program STPM baharu untuk Tingkatan Enam
a) Anda dapat memberi tumpuan kepada modul-modul tertentu dalam setiap semester
Rasa tertekan dan kebimbangan yang keterlaluan akibat menghafal SEMUA topik sepanjang pengajian 18 bulan dalam Tingkatan 6 adalah isu masa lampau. Bagi subjek Bahasa Melayu STPM, sukatan pelajaran baharu kini terdiri daripada 12 tajuk bahasa yang perlu dikuasai oleh pelajar. Anda juga boleh membaca dengan lebih lanjut tentang format Bahasa Melayu STPM yang merangkumi keseluruhan sukatan pelajaran STPM.
Bagi setiap semester, pelajar hanya akan diuji dalam topik-topik yang mereka belajar sewaktu kelas semester tersebut. Sebagai contoh, konsep semantik diperkenalkan dan diajar dalam Semester 3. Jadi, soalan peperiksaan berkenaan konsep semantik hanya akan ditanya dalam semester itu.
Anda tidak perlu mempelajari konsep semantik terlebih dahulu ketika anda mengambil Semester 1 dan 2 kerana penguasaan anda terhadap konsep ini tidak akan mempengaruhi prestasi dan kecekapan anda semasa peperiksaan akhir kedua-dua semester tersebut.
b) Anda dapat melengkapkan kurikulum yang seimbang dengan kombinasi peperiksaan dan penilaian kerja kursus
Kurikulum baharu ini memberikan lebih banyak peluang kepada anda untuk menggunakan gaya pembelajaran bahasa yang berbagai-bagai. Bukan sekadar menghafal fakta-fakta dan belajar menulis karangan mengenai isu-isu umum, tetapi anda juga dapat belajar secara lebih proaktif melalui perbincangan kumpulan (secara mendalam) dan menguasai pelbagai penulisan esei berformat (untuk meluaskan pemikiran anda).
Penilaian kerja kursus pula dapat meningkatkan kemahiran insaniah anda, terutamanya dari segi kepimpinan, pembentangan dan penyelidikan, yang secara langsung membantu anda semasa pembelajaran universiti dan apabila anda memasuki tenaga kerja nanti.
c) Anda dapat meningkatkan skor keseluruhan anda dengan ulangan kertas STPM
Perkara ini boleh dikatakan kelebihan terbesar dalam peperiksaan STPM demi mendapatkan peluang untuk meningkatkan gred dalam ketiga-tiga semester. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tekanan pelajar yang perlu bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan boleh dikurangkan.
Dengan itu, gred anda tidak akan dikira sebagai keputusan ahkir sehingga anda setuju dengan keputusan tersebut. Maka, harga untuk menduduki peperiksaan ulangan STPM agak berpatutan. Anda hanya perlu membayar RM50 untuk mengulangi kertas bagi setiap subjek.
Oleh hal yang demikian, peluang ini patut digunakan dengan bijak dan dilihat sebagai Plan B. Pelajar tidak sepatutnya mengambil mudah peluang tersebut.
d) Anda akan memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf tempatan dan di peringkat global
Senang sahaja jika anda ingin mendaftar di universiti tempatan atau antarabangsa kerana STPM merupakan program pra-universiti yang mempunyai banyak pengiktirafan. Gred akhir anda akan ditentukan mengikut sistem pointer, di mana 4.00 adalah gred kumulatif tertinggi.
Sama ada anda sudah merancang untuk belajar di Australia, UK, Korea Selatan, Singapura ataupun KL, tenangkan hati kerana anda sudah berada di landasan yang betul! Peperiksaan STPM akan sentiasa dipertimbangkan dalam syarat kemasukan universiti.
Mengapa anda harus belajar Bahasa Melayu STPM dan apakah cara untuk menjadi lebih fasih dalam Bahasa Melayu?
Bahasa Melayu STPM merupakan mata pelajaran yang komprehensif dan kaya dengan elemen-elemen kebudayaan. Berikut adalah beberapa kelebihan mengambil subjek ini semasa pembelajaran Tingkatan Enam anda:
a) Anda akan mempunyai kecekapan bertutur dan bertulis yang tinggi dalam Bahasa Melayu
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menekankan semua komponen bahasa pada tahap yang sama rata. Di penghujung pembelajaran Tingkatan Enam, anda pasti akan menguasai kemahiran bertutur, menulis, mendengar dan membaca dalam Bahasa Melayu dengan cemerlang!
b) Anda akan mendapat peluang kerjaya pada tahap global dan tempatan
Calon yang fasih dalam pelbagai bahasa mempunyai peluang yang lebih besar untuk mencapai impian pekerjaan yang dikehendaki serta ditawarkan kerja yang lebih baik pada masa hadapan berbanding dengan calon yang hanya berkemahiran dalam satu bahasa.
Adakah anda sedang memikirkan peluang kerjaya dalam mengajar subjek Bahasa Melayu? Kelayakan anda melalui Bahasa Melayu STPM pasti akan berguna! Anda boleh mengambil kursus Bahasa Melayu untuk pengajian ijazah sarjana muda anda untuk menjadi seorang guru atau pensyarah.

Langkah seterusnya untuk meningkatkan ilmu Bahasa Melayu STPM bersama Superprof
Ia adalah kritikal untuk melatih tahap fokus dan konsisten anda agar berjaya dalam peperiksaan Bahasa Melayu STPM walaupun setiap bahagian adalah berbeza. Di sini, Superprof boleh membantu anda meningkatkan kemahiran pemahaman dan penulisan bahasa. Kebolehan menulis karangan yang menarik sepanjang tiga semester STPM tidak lagi mustahil apabila anda belajar dengan guru Bahasa Melayu yang berpengalaman dan boleh dipercayai.
Dengan hanya beberapa klik, anda boleh mengakses kelas Bahasa Melayu yang berkesan dari segi kos dan masa, di samping belajar dengan selesa di kediaman anda. Apabila anda memasukkan subjek yang dikehendaki serta lokasi anda, ini akan memudahkan proses mencari guru yang sesuai dari semua penjuru Malaysia. Tuisyen peribadi dengan Superprof juga disyorkan kerana profil semua guru bahasa telah disahkan dan dikemaskini.
Jangan risau tentang kekurangan sumber latihan dan keperluan bimbingan profesional untuk persiapan peperiksaan Bahasa Melayu STPM anda! Format, skema pemarkahan, sumber latihan tambahan, tip belajar dengan efektif… guru Superprof anda akan sentiasa membimbing anda dalam ketiga-tiga semester!
Adakah anda berminat untuk mendapatkan kelas percuma pertama anda? Jom sertai kelas Bahasa Melayu di Superprof hari ini!